Rabu, 25 Desember 2013

Khadijah terharu terima sumbangan SMUE disampaikan ADUN Gombak

Harakahdaily 

Mohd Ridhuan Che Husin, 21 Ogs 2013

GOMBAK: Seorang penerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Khadijah Abd Kadi terharu apabila menerima sumbangan itu yang disampaikan oleh Adun Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan di Taman Perwira Gombak.

Hasbullah membuat kunjungan selepas mendapat berita tentang kematian suaminya, Allahyarham  Abu Zarin, 83, akibat kompilasi jantung jam 9.25 malam semalam di kediamannya.

“Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada YB Gombak Setia yang sudi menziarahi kami sekeluarga dan terima kasih Kerajaan Negeri Selangor yang telah memberikan sumbangan ini. Sedikit sebanyak, ia boleh mengurangkan beban keluarga kami,” kata beliau yang terharu menerima kunjungan Hasbullah.

Siti Hajar, salah seorang anak Khadijah berkata, ayah beliau telah setahun berdaftar dengan SMUE dan sekarang bakal menikmati  skim tersebut RM1,000 diberi terus oleh Hasbullah dan baki RM1,500 lagi akan diterima selepas 60 hari berikutnya.

Hasbullah mengucapkan takziah dan berharap lebih ramai warga emas berdaftar dalam skim itu.

“Saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dan arwah merupakan orang yang baik yang juga sentiasa pergi ke masjid.

“Saya juga berharap lebih ramai warga emas berdaftar dengan skim SMUE ini. Pihak Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) sentiasa giat mempromosikan skim-skim yang telah ditawarkan kerajaan negeri terutama kepada warga emas iaitu SMUE melalui ketua-ketua kampung,” ujar beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Selangor.

SMUE merupakan satu skim yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Selangor khusus untuk menjaga kebajikan rakyat Selangor.

Manfaatnya bernilai RM2,500 akan disumbangkan kepada penama warga emas/OKU yang meninggal dunia dan telah berdaftar.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar